Monday, 14 September 2015

[ INFO MENARIK MALAYSIA ] 16 JENIS NASI DI MALAYSIA


Nasi sememangnya merupakan makanan ruji bagi kita rakyat Malaysia. Ada segelintir daripada kita yang tak boleh hidup tanpa nasi. Pergi mana-mana mesti kena ada nasi. Kalau sehari tak makan nasi, rasa macam tak lengkap. Betul tak?


  • Jadi, ayuh sama-sama kita lihat 16 jenis nasi yang sudah sebati dengan seluruh rakyat Malaysia. Selamat menjamu mata!

  • 1. Nasi Kerabu

    • Nasi Kerabu merupakan hidangan nasi berwarna biru yang dimakan dengan ikan kering atau ayam goreng, keropok, serbuk kelapa, budu dan sayur-sayuran yang lain. Warna biru nasi terhasil daripada kelopak Clitoria ternatea (bunga telang) yang digunakan dalam masakan. Nasi Kerabu sering dimakan dengan solok lada dan juga keropok goreng.

      Nasi Kerabu amat popular di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu, dan kini boleh didapati di seluruh Malaysia dan juga di selatan Thailand.
       says.com
  • 2. Nasi Dagang

    • Nasi Dagang adalah beras yang dikukus di dalam susu kelapa, kari ikan dan bahan-bahan tambahan seperti kelapa goreng dicukur, telur rebus dan jeruk sayur-sayuran. Ia adalah makanan sarapan yang terkenal di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, seperti Terengganu dan Kelantan dan Selatan Thailand wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.

      Nasi dagang yang paling terkenal di Terengganu berasal dari Kampung Ladang, sebuah kawasan di dalam daerah Kuala Terengganu. Nasi Dagang juga boleh dianggap sebagai hidangan semasa Hari Raya Aidilfitri di Kelantan dan Terengganu untuk dimakan sebagai sarapan sebelum atau selepas solat Hari Raya di masjid.
       says.com
  • 3. Nasi Minyak

    • Nasi Minyak memang sangat popular dan menjadi hidangan utama bagi majlis perkahwinan masyarakat Melayu di Malaysia. Rasa janggal jika sesebuah majlis perkahwinan tidak menyajikan nasi minyak kepada tetamu yang datang.

      Hidangan sampingan kegemaran untuk dimakan bersama Nasi Minyak adalah ayam masak merah, daging lembu, kuah dhall, acar buah dan juga papadom. Kalau ingin mencuba hidangan ini, kenalah hadir ke mana-mana majlis perkahwinan orang Melayu.
       says.com
  • 4. Nasi Tumpang

    • Nasi Tumpang adalah sejenis hidangan nasi yang berasal dari Kelantan. Ia terdiri daripada nasi putih dengan campuran lapisan hidangan lain yang berbeza yang kemudiannya dibungkus dalam bentuk kon daun pisang.

      Secara tradisinya, ia adalah makanan ruji pelancong atau petani di Kelantan untuk dibawa bersama ketika bekerja. Nasi Tumpang padat dengan lapisan seperti telur, daging lembu atau ikan benang, sambal, timun, serunding dan lain-lain.
       says.com
  • 5. Nasi Tomato

    • Nasi Tomato merupakan salah satu hidangan tradisional orang Melayu negeri Pahang yang sangat popular. Ia biasanya dihidangkan semasa majlis perkahwinan tradisional Melayu dan pertunangan, perayaan Melayu seperti Aidil Fitri dan Aidil Adha, dan juga sesuai untuk makan tengahari dan makan malam.

      Rasa hidangan nasi tradisional ini adalah manis kerana pes tomato diadun dan dicampur dengan beras. Kadang-kadang, kismis dan gajus-kacang juga turut ditambah ke dalam campuran untuk memberikan rasa yang lebih pelbagai. Nasi Tomato didatangkan dengan ayam masak merah atau ayam rendang, daging, patcheri nanas dan dalcha.
       says.com
  • 6. Nasi Kandar

    • Siapa yang tak kenal Nasi kandar? Ini adalah antara hidangan paling popular di Malaysia, yang berasal dari pulau mutiara, Pulau Pinang. Ia adalah hidangan nasi yang disajikan dengan pelbagai aneka kari dan kuah dituang ke atas nasi beserta hidangan sampingan lain.

      Antara hidangan sampingan yang selalu datang dengan Nasi Kandar adalah ayam goreng, daging lembu, daging kambing, ketam, sotong, udang, telur, sayur-sayuran dan macam-macam lagi. Tapi yang paling penting, campuran kuah dan kari mesti dituang terus ke atas nasi sehingga 'banjir'.
       says.com
  • 7. Nasi Beringin

    • Barangkali ada yang tidak pernah mendengar nama Nasi Beringin sebelum ini. Hidangan ini dikatakan berasal dari negeri Johor dan sangat popular di daerah Muar. Ia seakan-akan nasi minyak tetapi berlainan dari segi penampilan kerana warna nasi yang agak keputihan, rasa dan juga hidangan sampingan.

      Biasanya Nasi Beringin dihidang bersama ayam masak merah atau ayam rendang, daging lembu, sambal, acar buah, sayur-sayuran beserta sup.
       says.com
  • 8. Nasi Ulam

    • Nasi Ulam adalah ciri masakan Melayu dengan banyak variasi dan lazim dijumpai di Malaysia, Indonesia dan selatan Thailand. Nasi Ulam di Malaysia terdiri daripada nasi putih, sayur-sayuran segar seperti kangkung, kacang panjang, petai, kacang botor dan lain-lain, dan dimakan dengan telur masin, ikan goreng dan sambal belacan. Ikan goreng kadang-kadang dicincang dan dicampurkan ke dalam nasi.

      Versi ini adalah perkara biasa di bahagian barat Semenanjung Malaysia. Nasi kerabu juga merupakan sejenis nasi ulam di mana nasi diwarnakan biru yang terkenal di negeri-negeri pantai timur.
       says.com
  • 9. Nasi Hujan Panas

    • Nasi Hujan Panas adalah resipi nasi Melayu yang popular di Malaysia dan Indonesia. Sesetengah orang merujuk hidangan ini sebagai "Rainbow Rice" kerana memaparkan beras berwarna-warni. Ia biasanya dihidangkan dengan masakan Melayu yang lain seperti rendang daging atau kari ayam.

      Ciri utama Nasi Hujan Panas ialah rupanya yang berwarna-warni. Penampilannya tidak pernah gagal dalam menarik minat orang ramai untuk menjamu selera terutama golongan kanak-kanak.
       says.com
  • 10. Nasi Lemak

    • Dikenali sebagai hidangan kebangsaan Malaysia, Nasi Lemak sememangnya merupakan hidangan kegemaran semua orang. Nasi lemak adalah hidangan beras wangi yang dimasak dalam santan dan daun pandan yang juga popular di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Kepulauan Riau dan selatan Thailand. Ia sangat sesuai disajikan pada bila-bila masa tidak kira untuk hidangan sarapan pagi, makan tengahari ataupun makan malam.
       says.com
  • 11. Nasi Kukus

    • Kalau tak silap, hidangan Nasi Kukus seperti dalam gambar mula popular pada tahun 2007 di mana ia pada awalnya hanya dijual di gerai-gerai tepi jalan. Kini nasi kukus telah menjadi popular sebagai salah satu hidangan untuk makan tengahari dan turut dijual di pelbagai restoran di serata Malaysia.

      Nasi Kukus biasanya terdiri daripada nasi putih yang dikukus, ayam goreng, kuah kari, sambal dan sedikit sayur-sayuran.
       says.com
  • 12. Nasi Ambeng

    • Nasi Ambeng atau Nasi ambang adalah hidangan beras wangi terdiri daripada nasi putih disediakan dengan ayam masak kicap atau ayam masak ungkep, sayur-sayuran, mi goreng, ikan kering bulu ayam, daging, serunding kelapa, telur, dan sambal goreng.

      Ia merupakan sebuah masakan popular masyarakat Jawa, terutama Jawa-Melayu di negeri-negeri di Semenanjung seperti Selangor dan Johor, dan juga di Jawa, Indonesia. Secara tradisinya, Nasi Ambeng dihidangkan semasa perayaan dan dihidangkan di dalam dulang untuk dinikmati bersama-sama oleh empat hingga lima orang. Tetapi sekarang ia boleh dijumpai di kedai-kedai makan yang dijual untuk hidangan satu orang.
       says.com
  • 13. Nasi Beriyani

    • Nasi Beriyani merupakan masakan berasaskan nasi yang dicampur rempah, beras (biasanya basmati) dan ayam, daging kambing, ikan, telor atau sayur-sayuran. Satu variasi Nasi Beriyani yang sangat terkenal di Malaysia ialah Nasi Beriyani Gam. Nasi Beriyani Gam, dimasak dengan memasukkan ketulan daging yang telah diperap semalaman di dalam periuk bersama 'lapisan' beras.

      Perkataan "Beriyani" diambil dari bahasa Parsi yang memberi maksud "goreng atau panggang". Beriyani dipercayai dicipta di dapur Maharaja Mungal Muslim yang kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang dari Selatan India. Nasi beriyani dimasak menggunakan beras panjang bersama rempah ratus yang digoreng sebelum ditanak berasnya.
       says.com
  • 14. Nasi Impit

    • Ada ke orang Malaysia yang tak suka Nasi Impit? Ini adalah hidangan yang boleh kata paling digemari oleh seluruh rakyat Malaysia. Ia merupakan hidangan paling utama untuk dihidangkan kepada para tetamu ketika Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Raya Aidiladha.

      Sesetengah orang menganggap Nasi Impit ini wajib disajikan sekali dengan kuah kacang. Kalau tiada kuah kacang, memang tidak lengkap. Ia turut melengkapi hidangan lain seperti satay, lodeh atau lontong, rendang daging atau ayam, ayam masak merah dan timun.
       says.com
  • 15. Nasi Ayam

    • Salah satu hidangan yang paling sinonim dengan rakyat Malaysia. Pergi sahaja ke mana-mana pasti hidangan Nasi Ayam sangat mudah untuk ditemui. Rasanya semua sudah sedia maklum dengan Nasi Ayam bukan? Nasi berwarna kuning, dihidang bersama ayam, sayur timun, salad dan juga tomato. Tidak lupa juga sup, kicap dan sos bagi menambahkan lagi perisa.
       says.com
  • 16. Nasi Bujang

    • Yang paling mudah dan paling murah tentunya Nasi Bujang. Hidangan Nasi Bujang hanya terdiri daripada nasi putih, telur dadar beserta dengan sup kosong dan juga sambal belacan. Untuk menambahkan perisa, biasanya nasi putih itu akan dituangkan dengan kicap manis.

      Nama Nasi Bujang dikaitkan dengan gaya hidup orang bujang dan juga pelajar yang suka berjimat cermat kerana tidak mempunyai banyak wang, terutamanya lelaki. Ia boleh didapatkan di pelbagai kedai makan di serata tempat dan selalunya hanya dicaj sebanyak RM2 bagi satu hidangan. Sangat murah! Memang sesuai dengan orang bujang.
       says.com
SUMBER : says.com







No comments:

Post a Comment